Assalamualaikum, kali ini selepas balik dari ceramah agama di masjid Kampung Kubang Jela, kampung halamanku, terdetik untuk ana berkongsi dengan sahabat-sahabat tentang akhlak dan peribadi isteri-isteri Rasulullah S.A.W. Akhlak dan peribadi isteri-isteri Rasulullah S.A.W perlu diikuti oleh sahabat-sahabat dan ana sendiri untuk menjadi wanita solehah.
1) Siti Khadijah
2) Saudah
3) Aisyah
4) Zainab bt Khuzaimah
5) Hafsah
6) Ummu Salamah
7) Zainab bt Jahsyi
8) Raihanah
9) Juwairiyah
10) Syafiyah
11) Ummu Habibah
12) Mariyah Al-Qibtiyah
13) Maimunah
Disini ana ingin menceritakan kisah isteri nabi yang pertama iaitu Siti Khadijah.
Siti Khadijah merupakan seorang yang jelita dan berketurunan suku Quraisy. Bondanya bernama Fatimah binti Zaidah bin Al-Asyam bin Harim bin Rawahah bin Hajar bin ‘Abdi bin Ma’ish bin ‘Amir bin Luwai bin Ghalib bin Fihr. Ayah beliau pula bernama Khuwalid bin Asad bin ‘Abdul ‘Uzza bin Qusyai bin Kilab bin Murrah bin Ka’ab bin Luwai bin Ghalib bin Fihr. Siti Khadijah dilahirkan pada tahun 68 sebelum hijrah iaitu 15 tahun sebelum tahun gajah. Setelah bapanya wafat, Siti Khadijah dijaga oleh pak ciknya iaitu Amrin bin Asad.
Khadijah mempunyai akhlak yang luhur dan tidak pernah berbangga dengan kekayaan yang dimilikinya. Oleh itu, beliau digelar Al-Tahirah yang bermakna perempuan suci. Beliau juga sangat berpegang kuat kepada nilai dan tata susila yang terpuji. Selain itu, Siti Khadijah ialah seorang wanita yang bijak dan cepat memahami sesuatu masalah (dzakiyyah), menjaga diri dari amalan keji (‘iffah), berperilaku yang suci (Thuhri), murah hati (Samahah) dan pemurah (Sakha’). Beliau juga seorang wanita yang berketurunan mulia lagi bangsawan, teguh hati atau mempunyai sikap yang kuat (Jazimatan Labibah), cergas (‘Aqilah), terpelihara (mashunah), agung (jalilah), suci hatinya (naqiyyah al-sarirah), bersih jiwanya (syafiyah al-Ruh) dan seorang yang cantik menawan.
Setelah meningkat dewasa, Khadijah berkahwin dengan seorang lelaki yang bernama Abu Halah bin Zurarah bin Habib bin Salamah bin ‘Adiy bin Jarwah bin Usaid bin ‘Amru bin Tamin Al-Tamini, keluarga daripada Bani ‘Abdi Al-Dar bin Qusyai. Mereka dikurniakan dua orang cahaya mata iaitu Hindun bin Abu Halah dan Zainab binti Abu Halah. Namun, ada yang menyatakan anak pertama mereka bernama Halah dan yang kedua bernama Hanad. Apa yang jelasnya, mereka dikurniakan Allah dua orang cahaya mata.
Setelah suami pertamanya meninggal dunia, Khadijah kemudiannya berkahwin dengan seorang lelaki yang juga dari bangsawan Quraisy iaitu ‘Atiq bin ‘Atidz bin ‘Abdillah bin Umar bin Mahzum Al-Mahzumiy. Namun perkahwinan ini tidak kekal dan mereka berpisah. Tidak dinyatakan dalam sejarah, apakah perpisahan tersebut berlaku kerana suaminya itu meninggal dunia ataupun mereka bercerai hidup. Terdapat ahli tarikh yang menyatakan mereka juga dikurniakan dua cahaya mata.
Selepas perpisahannya dengan suami kedua, Khadijah tidak berkahwin lagi walaupun ramai pemuda dan hartawan Quraisy berminat mengahwininya. Beliau menolak secara halus dan menyatakan beliau mahu memberi perhatian kepada anak, rumahtangga dan perniagaannya. Namun setelah mengenali (Nabi) Muhammad, beliau tertarik dengan keperibadiannya. Beliau mendapat tahu tentang kejujuran (Nabi) Muhammad lalu meminta (Nabi) Muhammad bekerja dengannya. Beliau berjanji akan memberi upah yang berganda kepada (Nabi) Muhammad. Maka berangkatlah (Nabi) Muhammad menuju ke Syam.
Setelah selesai berurus niaga, (Nabi) Muhammad pulang dengan membawa keuntungan yang berlipat ganda.
Maisarah, pembantu Khadijah yang ikut serta rombongan ke Syam menceritakan apa yang berlaku di sepanjang perjalanan mereka kepada Khadijah. Antaranya ialah, Maisarah melihat segumpal awan sentiasa menaungi (Nabi) Muhammad dari panas terik cahaya matahari sepanjang perjalanan tersebut. Selain itu, ketika rombongan niaga ini berehat kerana letih, (Nabi) Muhammad berteduh di bawah sepohon pokok rendang berhampiran rumah seorang rahib Nasrani bernama Nastur. Rahib ini mengetahui tentang (Nabi) Muhammad kerana dia melihat bayang-bayang pohon itu memanjang melindungi (Nabi) Muhammad dari terikkan panas matahari dan dia menghampiri rombongan lalu berkata, “Tiada seorang pun yang berteduh di bawah pohon itu melainkan para Nabi dan Rasul yang diberi keistimewaan oleh Allah dengan sifat-sifat mulia”.
Mendengar apa yang diceritakan oleh Maisarah, Khadijah menjadi semakin ghairah ingin mengetahui mengenai (Nabi) Muhammad. Perhubungan Khadijah dan (Nabi) Muhammad selaku majikan dan pekerja berjalan baik. Khadijah mula menyimpan harapan terhadap (Nabi) Muhammad. Beliau tertarik dengan sifat (Nabi) Muhammad yang pandai berniaga, berbudi bahasa, berakhlak tinggi, tampan dan suaranya yang merdu.
Khadijah dan (Nabi) Muhammad akhirnya berkahwin. Ketika itu, Khadijah berumur 40 tahun manakala (Nabi) Muhammad berumur 25 tahun. Mereka dikurniakan 6 orang cahaya mata iaitu Zainab, Ruqiyyah, Ummi Kalsom, Fatimah, Qasim dan Abdullah. Allah Maha Berbuat sehendakNya, kedua-dua putera Nabi ini meninggal dunia ketika diusia kecil lagi dan tidak sempat untuk berjuang. Maka, tinggallah 4 puterinya yang dididik dengan baik dan diasuh dengan akhlak yang mulia.
Khadijah merupakan seorang isteri yang baik. Khadijah tidak pernah bersungut apabila setiap kali (Nabi) Muhammad ingin beruzlah (mengasingkan diri) di Gua Hirak. Malah beliau akan menyediakan bekalan makanan untuk (Nabi) Muhammad. Kunjungan (Nabi) Muhammad secara berulang alik ke Gua Hirak dari rumahnya berlaku dalam tempoh lebih kurang 5 tahun. Suatu hari, sedang (Nabi) Muhammad tenggelam dalam munajat kepada Allah, malaikat Jibrail datang membawa wahyu pertama iaitu Surah Al-Alaq yang terdiri dari 5 ayat. Peristiwa ini berlaku pada hari Isnin 17 Ramadhan tahun ke 41 dari keputeraan baginda, yakni ketika berusia 40 tahun, 6 bulan dan 8 hari. Wahyu
Wahyu pertama ini adalah surah yang menyuruh kepada seruan membaca yang bermaksud:
“Bacalah (wahai Muhammad) dengan nama Tuhanmu yang menciptakan (sekalian makhluk). Dia menciptakan manusia dari sebuku darah beku. Bacalah, dan Tuhanmu Yang Maha Pemurah. Yang mengajar manusia melalui pena dan tulisan. Dia mengajarkan manusia apa yang tidak diketahuinya.”(Al-Alaq:1-5)
Setelah menerima wahyu tersebut, (Nabi) Muhammad pulang ke rumah dalam keadaan gementar dan takut. Semasa dalam perjalanan pulang, baginda tiba-tiba terdengar suara dari langit yang menyatakan baginda telah diangkat menjadi utusan Allah. Setibanya di rumah, Khadijah tercengang melihat keadaan suaminya itu. Baginda kemudian menceritakan kepada Khadijah apa yang telah berlaku. Mendengar keterangan suaminya itu, Khadijah segera memeluknya dan menenangkannya. Setelah melihat suaminya tenang, beliau menjemputnya supaya tidur.
Khadijah kemudiannya pergi ke rumah sepupunya, Warakah bin Naufal bin Asad bin Abdul Uzza bin Qusai, seorang yang berilmu tinggi tentang agama Nasrani, untuk menceritakan segala apa yang berlaku. Waraqah terkejut dan gementar seluruh tubuhnya yang memang sudah tua dan lemah itu selepas mendengar cerita Khadijah. Warakah menyatakan bahawa suami Khadijah akan menjadi Nabi kepada umat. Selepas itu, Khadijah pulang ke rumah dan melihat suaminya masih tidur lena. Beliau membiarkan sahaja suaminya tidur kerana tidak sampai hati hendak mengejutnya. Sedang (Nabi) Muhammad tidur berselimut itu, datanglah wahyu kedua dari Allah yang menegurnya agar jangan mengurung diri di bawah selimut. Allah memerintahkan (Nabi) Muhammad bangun dan persiapkan diri untuk menerima wahyu-wahyu berikutnya. Wahyu tersebut bermaksud:
“Wahai orang yang berselimut (Muhammad). Bangunlah (untuk solat) di malam hari, kecuali sedikit (daripadanya). (Iaitu) seperduanya atau kurangilah daripada seperdua itu. Dan bacalah Al-Quran itu dengan perlahan-lahan. Sesungguhnya Kami akan menurunkan kepadamu perkataan yang berat.” (Al-Muzammil:1-5)
Nabi Muhammad kemudiannya terbangun dari tidurnya dan melihat isterinya, Khadijah setia duduk dengan khidmatnya di sisi. Khadijah menceritakan apa yang telah disampaikan oleh Waraqah kepadanya. Nabi menatap wajah isterinya itu dengan penuh sayu dan rasa terima kasih serta kagum atas pengertian dan perhatiannya. Keesokkannya, mereka pergi ke rumah Waraqah. Lalu waraqah berkata, “Demi Yang Mengetahui diriku..! Sungguh engkau adalah Nabi kepada umat ini. Kelak engkau akan didustakan orang, disakiti, diusir bahkan diperangi oleh mereka. Seandainya aku masih hidup pada waktu itu, maka aku akan membantumu..!”
Khadijah merupakan wanita pertama yang mengikuti Rasulullah, membenarkan Rasulullah dan beriman kepada Allah. Beliau sentiasa memberikan dorongan kepada perjuangan dan dakwah Rasulullah. Selain itu, Khadijah berperanan sebagai penolong, pembela dan pelindung Rasulullah daripada ancaman orang-orang musyrikin Quraisy. Beliau juga turut merasai pahit maungnya perjuangan mengembangkan ajaran Ilahi kepada manusia sepertimana yang dirasai oleh suaminya, Nabi Muhammad. Nabi dan pengikut-pengikutnya dianggap tidak siuman, dicemuh, dimaki hamun malah, dilontar batu melukai tubuh.
Khadijah dapat menyaksikan wanita pertama yang gugur sebagai syuhada dalam Islam iaituSumaiyah bonda Amar bin Yasir. Beliau juga dapat melihat dengan matanya sendiri saat kaum Muslimin dan Muslimat berhijrah ke Habsyi, termasuk dalam rombongan puterinya sendiri, Ruqayyah binti Muhammad. Penentangan daripada orang musyrikin Quraisy semakin menebal apabila Rasulullah mengubah cara dakwahnya dari secara bersembunyi kepada terang-terangan. Ada juga di antara mereka berniat untuk membunuh Rasulullah.
Oleh sebab keteguhan sikap Rasulullah dalam menyampaikan seruan Ilahi, Khadijah menjadi semakin yakin dan teguh untuk berdiri di samping baginda. Pelbagai peristiwa yang dialami dan disaksikan oleh Khadijah memberi kesan yang mendalam di dalam jiwanya. Hal ini jelas nampak dari sikap beliau yang sanggup mengorbankan segala apa yang dimilikinya demi kemajuan dan perjuangan Islam pada masa itu.
Ketika di penghujung hayatnya, walaupun beliau tidak secergas dulu, uzur dan selalu jatuh sakit, beliau tetap mempunyai semangat dan keyakinannya untuk bersama suami tercinta. Khadijah masih tetap bermanis muka dan memandang suaminya dengan senyuman dan tatapan yang sayu tapi bermakna. Saat demi saat berlalu, penyakit Khadijah kian tenat. Rasulullah memberitahu Khadijah bahawa mereka akan bertemu di syurga kelak.
Dalam usia 65 tahun, Khadijah menghembuskan nafasnya yang terakhir dengan tenang di hadapan suaminya yang tercinta. Jenazah Allahyarham dimakamkan di bumi Hujun. Semenjak kepergian Khadijah, Rasulullah berasa sangat terkesan dan sangat pedih. Kesedihan Rasulullah bukan sahaja kerana kehilangan isteri yang setia, tetapi Rasulullah juga merasa kehilangan seorang pembantu dan pembela baginda dalam melanjutkan tugas suci iaitu menyeru manusia ke jalan Allah. Penentangan orang Quraisy terhadap Rasulullah semakin hebat selepas kematian Khadijah.
*********************************************************************************************
SAUDAH BINTI ZAMA’AH
Saudah merupakan seorang wanita yang tinggi lampai. Ayahnya yang berasal dari Mekkah bernama Zama’ah bin Qais bin Abdi Syams bin Abdi Wudd bin Nasyr bin Malik bin Hasl bin Amir bin Luaiy, manakala ibunya bernama Al-Syumus binti Ghanam bin ‘Adiy bin Al-Najr yang berasal dari Madinah.
Saudah juga seorang gadis yang berusia lanjut kerana lambat bertemu jodoh. Beliau akhirnya dipinang oleh Al-Sakran bin ‘Amer. Kedua suami isteri ini dengan suka rela telah memeluk Islam ketika Nabi Muhammad diangkat sebagai Rasul dan keluarganyatergolong dalam “Al-Sabiqun Al-Awwalun” atau orang-orang yang terdahulu memeluk agama Islam. Malah, mereka lebih awal memeluk Islam daripada Umar bin Khattab. Saudah dan suaminya termasuk dalam rombongan seramai 89 lelaki dan 19 wanita yang berhijrah ke Habsyah. Setelah Umar bin Khattab dan Hamzah bin Abd. Mutalib memeluk Islam, Saudah dan suaminya pulang semula ke Mekkah bersama 31 orang Muslimin dan 7 orang Muslimat yang lain.
Di Mekkah, Saudah dan suaminya tetap dimusuhi oleh kaum Musyrikin Quraisy. Pelbagai penganiayaan telah mereka lakukan kepada Saudah dan suaminya. Pelbagai seksaan yang dihadapi oleh Saudah dan suaminya sehingga suaminya jatuh sakit dan meninggal dunia di Mekkah. Sepeninggalan suaminya, Saudah kehilangan tempat bergantung, melainkan Allah sahaja tempat beliau mengadu. Beliau seorang diri berusaha untuk mendapatkan keperluan hidupnya. Beliau tidak pernah berhasrat untuk kembali kepada kaumnya, iaitu kaum Bani Abdi Syams kerana beliau tahu, sekiranya beliau kembali kepada kaumnya, sudah pasti kaumnya mengugut dan menyiksanya supaya beliau kembali kepada agama asalnya yang menyembah berhala. Saudah amat yakin dengan agama Allah yang juga agama yang disampaikan oleh Nabi Muhammad. Beliau juga yakin setiap apa yang berlaku dalam hidupnya, pasti ada hikmahnya.
*************************************************************************************
Kenangan Nabi Muhammad terhadap isterinya Khadijah tidak pernah luput. Baginda masih lagi bersedih. Melihat kesedihan Baginda, Khulah binti Hakim berasa bertanggungjawab untuk mengurangkan kesedihan Baginda memandangkan Baginda duduk seorang diri. Beliau memberi cadangan kepada Rasulullah supaya Baginda mencari pengganti yang dapat menguruskan rumah tangganya. Khulah mencadangkan Saudah dan Aisyah.
Khulah menceritakan perihal Saudah dimana beliau telah memeluk Islam bersama suaminya tetapi setelah kembali ke Mekkah, mereka telah diseksa oleh kaum Musyrikin Mekah sehingga suaminya meninggal dunia. Beliau hilang tempat bergantung dan hidup sebatang kara. Namun, beliau tetap yakin dengan agama Islam dan tidak pernah berhasrat untuk kembali kepada kaumnya.
Setelah mendengar perihal Saudah, timbul rasa kasihan dari jiwa Rasulullah, hatinya terusik, apalagi Baginda terkenal dengan sifat kasih sayang terhadap umatnya. Baginda juga tergugah mendengar derita yang dialami oleh Saudah dan suaminya yang sanngup mempertahankan agama yang baru dianutinya iaitu agama Allah sehingga suaminya meninggal dunia. Oleh itu, demi membentengi Saudah daripada godaan kaumnya untuk kembali kepada agama asalnya dan untuk melindungi Saudah daripada seksaan kaumnya juga kerana untuk membalas jasa bekas suaminya yang sudah gugur mempertahankan iman dan keislamannya di samping untuk menarik perhatian kaumnya yang bengis dan kejam itu, maka Rasulullah bersetuju untuk memperistikan Saudah.
Usaha Khulah sudah hampir mencapai kejayaan apabila Rasulullah mengutus seseorang untuk meminang Saudah yang ketika itu sudah berusia lebih kurang 50 tahun iaitu suatu umur dimana tidak menimbulkan ghairah bagi seorang lelaki memperisterikannya. Saudah menerima pinangan tersebut dengan rasa syukur. Hatib bin Amrin iaitu anak bapa saudaranya menjadi walinya dan berlangsunglah pernikahannya dengan Rasulullah. Allah telah mengurniakan Saudah nikmat yang tidak ternilai dan meninggikan tarafnya serta dipandang mulia oleh masyarakatnya.
Pernikahan ini berlangsung pada tahun ke-10 Nabi dilantik menjadi Rasul, di saat Nabi masih dilanda kedukaan akibat kehilangan 2 orang insan yang banyak membantunya,Khadijah iaitu isterinya dan Abu Talib, bapa saudaranya. Dapat disimpulkan bahawa, pernikahan Rasulullah ini bukan didorong oleh rasa hawa nafsu atau syahwat tetapi didorong oleh rasa kemanusiaan yang mendalam demi membela nasib seorang balu yang terlantar akibat ditinggalkan oleh suaminya yang gugur di jalan Allah.
Setelah berkahwin, tinggallah Saudah bersama Rasulullah dan mulai saat itu, beliaulah yang bertindak sebagai pendamping dan pengurus rumahtangga Nabi di samping membantu Nabi dalam perjuangan menegak dan mengembangkan ajaran Islam. Pernikahan Saudah dan Rasulullah ini membawa hikmah yang sangat besar. Orang-orang Arab terutamanya kaum Bani Abdi Syams mula berasa segan terhadapnya dan kaum muslimin lainnya. Ini menyebabkan berkurangnya tekanan dan seksaan yang mereka tujukan kepada kaum muslimin, bahkan ramai diantara mereka yang memeluk agama Islam. Tindakan ini adalah kerana mereka kagum dengan ketinggian nilai ajaran Islam di samping kagum terhadap budi pekerti Rasulullah yang sudi mengahwini Saudah yang sudah tua. Segala tanggapan buruk mereka yang mengatakan bahawa Rasulullah seorang yang jahat, gila pangkat, harta dan wanita hilang. Ini kerana menurut mereka, sekiranya benar Muhammad seorang yang gila wanita dan berhawa nafsu besar, apalah gunanya Baginda berkahwin dengan Saudah seorang yang sudah berusia dan tidak cantik seperti kebanyakkan wanita muda yang terdapat di kota Mekkah itu.
*************************************************************************************
Di samping sifat-sifatnya yang terpuji, jujur dan taat serta kasih sayang yang tidak berbelah bagi kepada suaminya, Saudah juga memiliki suatu sifat yang amat disenangi Rasulullah iaitu kepandaiannya membuat kelakar. Kebolehannya yang boleh berjenaka itu dapat menghiburkan hati Rasulullah terutama apabila Rasulullah sedang bersusah hati kerana menghadapi masalah-masalah yang rumit dalam tugasnya sebagai pesuruh Allah. Pada suatu hari, Saudah berkata kepada Rasulullah:
“Aku solat dibelakangmu (menjadi makmum) kelmarin ketika engkau sujud aku pun sujud, sehingga aku memegang hidungku kerana takut akan keluar darah daripadanya.”
Rasulullah tertawa mendengar gurauan Saudah itu sehingga kelihatan gerahamnya, sebab Baginda sudah mengerti apa yang dimaksudkan oleh Saudah. Yang dimaksudkan oleh Saudah dengan keluar darah dari hidungnya itu ialah kerana Rasulullah sujud terlalu lama, selama sujud itu pulalah hidungnya mesti tercecah ke lantai. Kerana itu Saudah takut darah akan keluar dari hidungnya sebab terlalu lama tertekan ke lantai. Jadi Saudah terpaksa menahan hidungnya sedikit supaya tidak terlalu kuat tekanannya ke lantai tempat sujud.
Saudah juga seorang yang bersifat pemurah, suka bersedekah dan menderma di kalangan para isteri Rasulullah dan kaum muslimin pada umumnya. Mengikut tarikh ada mencatatkan bahawa pada waktu Saudah wafat, beliau tidak ada meninggalkan harta yang masih miliknya walaupun sedikit kerana semua hartanya telah dibagi-bagikan kepada sesiapa yang memerlukan ketika dia masih hidup. Diriwayatkan, bahawa pada penaklukan Khaibar, Rasulullah menyerahkan kepada Saudah sebanyak 80 pikul atau 4800 gantang gandum hasil rampasan perang. Tetapi semua gandum itu dibagi-bagikan oleh Saudah kepada orang yang memerlukan sehingga tidak ada yang tinggal di tangan beliau. Terdapat juga riwayat yang menyatakan bahawa pada suatu ketika Umar bin Khattab menyuruh seseorang untuk menghadiahkan satu guni wang dirham (wang emas) kepada Saudah pada masa pemerintahannya. Pada mulanya Saudah menyangka ia adalah kurma kerana diletakkan di dalam guni. Setelah mengetahui ia adalah wang dirham, beliau menyuruh pembantunya untuk membahagikan kepada orang yang memerlukan di kalangan kaum muslimin.
Pada bulan Syawal tahun 54 hijrah, Saudah menghembuskan nafasnya yang terakhir di Madinah, lebih kurang 44 tahun setelah kewafatan Rasulullah. Kewafatan ini berlaku pada masa pemerintahan Khalifah Muawiyah bin Abi Sufyan.
*********************************************************************************************
Saidatina Aisyah r.a
Rasulullah SAW membuka lembaran kehidupan rumah tangganya dengan Aisyah r.a yang telah banyak dikenal. Ketika wahyu datang pada Rasulullah SAW, Jibril membawa kabar bahwa Aisyah adalah isterinya didunia dan diakhirat, sebagaimana diterangkan didalam hadits riwayat Tirmidzi dari Aisyah r.a, Jibril datang membawa gambarnya pada sepotong sutra hijau kepada Nabi SAW, lalu berkata.' Ini adalah istrimu didunia dan di akhirat." Dialah yang menjadi sebab atas turunnya firman Allah SWT yang menerangkan kesuciannya dan membebaskannya dari fitnah orang-orang munafik.
Aisyah dilahirkan empat tahun sesudah Nabi SAW diutus menjadi Rasul. Semasa kecil dia bermain-main dengan lincah, dan ketika dinikahi Rasulullah SAW usianya belum genap sepuluh tahun. Dalam sebahagian besar riwayat disebutkan bahawa Rasulullah SAW membiarkannya bermain-main dengan teman-temannya. Dua tahun setelah wafatnya Khadijah r.a datang wahyu kepada Nabi SAW untuk menikahi Aisyah r.a. Setelah itu Nabi SAW berkata kepada Aisyah, " Aku melihatmu dalam tidurku tiga malam berturut-turut. Malaikat mendatangiku dengan membawa gambarmu pada selembar sutra seraya berkata,' Ini adalah istrimu.' Ketika aku membuka tabirnya, tampaklah wajahmu. Kemudian aku berkata kepadanya,' Jika ini benar dari Allah SWT , niscaya akan terlaksana."
Mendengar kabar itu, Abu Bakar dan isterinya sangat senang, terlebih lagi ketika Rasulullah SAW setuju menikahi putri mereka, Aisyah. Beliau mendatangi rumah mereka dan berlangsunglah pertunangan yang penuh berkah itu. Setelah pertunangan itu, Rasulullah SAW hijrah ke Madinah bersama para sahabat, sementara isteri-isteri beliau ditinggalkan di Makkah. Setelah beliau menetap di Madinah, beliau mengutus orang untuk menjemput mereka, termasuk didalamnya Aisyah r.a. Dengan izin Allah SWT menikahlah Aisyah dengan mas kawin 500 dirham.
Aisyah tinggal dikamar yang berdampingan dengan Masjid Nabawi. Dikamar itulah wahyu banyak turun, sehingga kamar itu disebut juga sebagai tempat turunnya wahyu. Dihati Rasulullah SAW, kedudukan Aisyah sangat istimewa, dan tidak dialami oleh isteri-isteri beliau yang lain. Didalam hadits yang diriwayatkan oleh Anas bin Malik dikatakan, " Cinta pertama yang terjadi didalam Islam adalah cintanya Rasulullah SAW kepada Aisyah r.a."
Didalam riwayat Tirmidzi dikisahkan "Bahawa ada seseorang yang menghina Aisyah dihadapan Ammar bin Yasir sehingga Ammar berseru kepadanya,' Sungguh celaka kamu. Kamu telah menyakiti isteri kecintaan Rasulullah SAW." Sekalipun perasaan cemburu isteri-isteri Rasulullah SAW terhadap Aisyah sangat besar, mereka tetap menghargai kedudukan Aisyah yang sangat terhormat. Bahkan ketika Aisyah wafat, Ummu Salamah berkata, 'Demi Allah SWT, dia adalah manusia yang paling beliau cintai selain ayahnya (Abu Bakar)'.
Di antara isteri-isteri Rasulullah SAW, Saudah bin Zum`ah sangat memahami keutamaan-keutamaan Aisyah, sehingga dia merelakan seluruh malam bahagiannya untuk Aisyah. Dengan demikian dapat dikatakan bahawa Aisyah sangat memperhatikan sesuatu yang menjadikan Rasulullah SAW rela. Dia menjaga agar jangan sampai beliau menemukan sesuatu yang tidak menyenangkan darinya. Karena itu, salah satunya, dia senantiasa mengenakan pakaian yang bagus dan selalu berhias untuk Rasulullah SAW. Menjelang wafat, Rasulullah SAW meminta izin kepada isteri-isterinya untuk beristirahat dirumah Aisyah selama sakitnya hingga wafat.
Dalam hal ini Aisyah berkata, "Merupakan kenikmatan bagiku karena Rasulullah SAW wafat dipangkuanku." Bagi Aisyah, menetapnya Rasulullah SAW selama sakit dikamarnya merupakan kehormatan yang sangat besar karena dia dapat merawat beliau hingga akhir hayat. Rasulullah SAW dikuburkan dikamar Aisyah, tepat ditempat beliau meninggal. Sementara itu, dalam tidurnya, Aisyah melihat tiga buah bulan jatuh ke kamarnya. Ketika dia memberitahukan hal ini kepada ayahnya, Abu Bakar berkata, "Jika yang engkau lihat itu benar, maka dirumahmu akan dikuburkan tiga orang yang paling mulia dimuka bumi." Ketika Rasulullah SAW wafat, Abu Bakar berkata, "Beliau adalah orang yang paling mulia diantara ketiga bulanmu." Ternyata Abu Bakar dan Umar dikubur dirumah Aisyah.
Setelah Rasulullah SAW wafat, Aisyah senantiasa dihadapkan pada cobaan yang sangat berat, namun dia menghadapinya dengan hati yang sabar, penuh kerelaan terhadap taqdir Allah SWT dan selalu berdiam diri didalam rumah semata-mata untuk taat kepada Allah SWT. Rumah Aisyah senantiasa dikunjungi orang-orang dari segala penjuru untuk menimba ilmu atau untuk berziarah kemakam Nabi SAW.
Ketika isteri-isteri Nabi SAW hendak mengutus Uthman menghadap khalifah Abu Bakar untuk menanyakan harta warisan Nabi SAW yang merupakan bahagian mereka, Aisyah justeru berkata, "Bukankah Rasulullah SAW telah berkata, 'Kami para nabi tidak meninggalkan harta warisan. Apa yang kami tinggalkan itu adalah sedekah." Dalam penetapan hukum pun, Aisyah kerap langsung menemui wanita-wanita yang melanggar syariat Islam. Didalam Thabaqat, Ibnu Saad mengatakan bahawa Hafshah binti Abdurrahman menemui Ummul Mukminin Aisyah r.a. Ketika itu Hafshah mengenakan kerudung tipis.
Secepat kilat Aisyah menarik kerudung tersebut dan menggantinya dengan kerudung yang tebal. Aisyah tidak pernah mempermudah hukum kecuali jika sudah jelas dalilnya dari Al Qur`an dan Sunnah. Aisyah adalah orang yang paling dekat dengan Rasulullah SAW sehingga banyak menyaksikan turunnya wahyu kepada beliau. Aisyah pun memiliki kesempatan untuk bertanya langsung kepada Rasulullah SAW jika menemukan sesuatu yang belum dia pahami tentang suatu ayat. Dengan demikian dapat dikatakan bahawa ia memperoleh ilmu langsung dari Rasulullah SAW. Aisyah termasuk wanita yang banyak menghafalkan hadits-hadits Nabi SAW, sehingga para ahli hadits menempatkan dia pada urutan kelima dari para penghapal hadits setelah Abu Hurairah, Ibnu Umar, Anas bin Malik dan Ibnu Abbas.
Dalam hidupnya yang penuh dengan jihad, Sayyidah Aisyah wafat pada usia 66 th, bertepatan dengan bulan Ramadhan,th ke-58 H, dan dikuburkan di Baqi`. Kehidupan Aisyah penuh dengan kemuliaan, kezuhudan, ketawadhuan, pengabdian sepenuhnya kepada Rasulullah SAW, selalu beribadah serta senantiasa melaksanakan shalat malam. Selain itu, Aisyah banyak mengeluarkan sedekah sehingga didalam rumahnya tidak akan ditemukan wang satu dirham atau satu dinar pun. Dimana sabda Rasulullah SAW, "Berjaga dirilah engkau dari api neraka walaupun hanya dengan sebiji kurma." (HR. Ahmad )
**********************************************************************************************************************************
Zainab Binti Khuzaimah
Zainab Binti Khuzaimah Bin Abdullah adalah isteri Rasulullah yang ke 5. Oleh kerana dia seorang yang terlalu pemurah dan amat dermawan, dia dikenali dengan nama Ummu Masakin di kalangan sahabat. Dia selalu menghulurkan bantuan kepada orang-orang miskin di sekitar Madinah.
Sebelum menjadi isteri Rasulullah, Zainab pernah berkahwin dengan Tufail Bin Haris iaitu seorang pejuang Islam. Malangnya jodoh mereka tidak panjang. Tufail telah terkorban di dalam peperangan Badar dan ditabalkan sebagai mati syahid. Kemudian Zainab telah berkahwin pula dengan Abdullah Bin Jahsh tetapi umur perkahwinan mereka juga tidak lama apabila suaminya yang ke 2 ini pun telah terkorban juga, mati syahid dalam peperangan Uhud.
Zainab memang bertuah kerana telah menjadi seorang isteri kepada 2 orang syuhadah tetapi bagaimana pula dengan masa depannya. Dapat ke dia meneruskan hidup tanpa suami tercinta. Demi menyelamatkan keadaan isteri kepada 2 orang sahabat yang telah terkorban, Rasulullah mengambil keputusan untuk mengahwini Zainab. Mereka telah berkahwin pada tahun tu juga. Ketika itu Zainab telah berusia 30 tahun dan tergolong dalam ketogeri janda muda. Kalau tidak diselamatkan oleh Rasulullah, kehidupan seorang janda seperti Zainab pastinya akan terbiar tanpa perhatian pada zaman itu.
Bagi Zainab pula, walaupun masih muda tetapi jauh di sudut hatinya tersimpan perasaan yang terlalu takut untuk bersuami lagi setelah kedua-dua suaminya meninggal dunia. Setelah bergelar isteri kepada Rasulullah, Zainab dikenali sebagai Ummul Mukminin. Tapi sayangnya, kehidupannya bersama Rasulullah tidak lama iaitu lebih kurang 2 bulan sahaja apabila beliau telah meninggal dunia. Beliau juga menjadi isteri ke 2 Rasulullah yang meninggal dunia semasa hayat Rasulullah selepas Siti Khadijah.
Sememangnya Zainab amat bertuah kerana Rasulullah sendiri yang menyembahyangkan jenazahnya. Dan sebagai penghormatan, Rasulullah telah mengebumikan jenazah Zainab di Jannah Al Baqi' bersama sahabat-sahabat yang lain. Walaupun sejarah hidupnya bersama Rasulullah tidak lama namun keperibadiannya patut dicontohi. Sifatnya yang sangat bersimpati dengan golongan miskin masih dikekalkan sehingga ke akhir hayatnya.
Jadi, mari lah kita sama-sama jadikan contoh dari sifat dermawan Zainab ini. Mudah-mudahan ia dapat dicontohi oleh semua kaum wanita di zaman ini terutamanya yang kaya raya.
Ana berharap dari kisah isteri-isteri Rasulullah ini akan menguatkan keimanan dan ketakwaan kita kepada Allah S.W.T. Dengan adanya kisah ini dapat menjadikan kita sabagai wanita solehah dan akan ditempatkan di Syurga. InsyaAllah...
Sekian...