Tuesday, April 17, 2012

Hukum Ber"dating" Dengan Tunang...

Assalamualaikum...
Ana terbaca satu soalan yang perkara itu selalu dilakukan oleh muslimat dan muslimin.

Jadi disini ana ingin berkongsi dengan sahabat-sahabat ana sekalian untuk berkongsi sesama manusia dan sesama umat islam bahawa hukum berdating dengan tunang adalah haram sama sekali seperti berdating tanpa ikatan apa-apa selain sudah diakad nikah.

Sahabat ana sekalian baca lah apa yang ana ingin share kan...
Mungkin dari apa yang sahabat baca boleh dijadikan ikhtibar dan pengajaran untuk semua.

Soalan:

Saya ni sudah bertunang..selalunya kalau saya jumpa dengan tunang saya.. kami hanya berdua. Seperti saya dinasihati oleh kawan saya untuk membawa sesiapa yang mahram dengan saya untuk menjauhi daripada fitnah dan maksiat. Cuma ustaz.. bila ada orang lain, kami segan nak cakap dan

apabila hanya kami berdua saja pun, masing2 kurang bercakap kecuali ada perkara yang terlintas difikiran untuk dibincangkan. Selalu pun kalau jumpa, kami pergi makan dan window shopping. Jumpa memang dah jarang hanya sebulan sekali je. Kita orang takde lah nak pegang tangan apa hanya jalan beriringan je. Jadi soalan saya.."boleh ke kami berjumpa berdua-duaan..?sedangkan ada hukum menyatakan haram".

Jawapan

Sebagai muqadimah bagi artikel ini, lebih eloklah saya memberikan maksud ikatan pertunangan sebagai pendedahan kepada semua pengunjung apa yang di maksudkan dengan pertunangan dalam Islam. Menurut Ustaz Sulaiman Endut dalam bukunya Asas-asas Fardhu Ain sebagai berikut :

“Peminangan adalah melahirkan keinginan untuk berkahwin atau permintaan dari seorang lelaki kepada seorang perempuan untuk mengahwininya, sama ada dilakukan oleh lelaki itu secara langsung atau tidak langsung iaitu dengan perantaraan orang lain yang boleh dipercayai sesuai dengan ketentuan agama.”

Jelas di sini bahawa ikatan pertunangan adalah tanda keinginan seorang lelaki kepada seorang perempuan untuk mengahwininya dengan ikatan perkahwinan yang sebenar. Sebenarnya ikatan pertunangan ini tiada istilah yang membolehkan mereka keluar berdua-duaan walaupun berjumpa seketika untuk menyampaikan sesuatu hasrat yang terpendam atau sebaliknya. Hadis Nabi Muhammad saw yang bermaksud :

"Tidak halal bagi seseorang lelaki berkhalwat dengan seseorang wanita yang tidak halal buatnya kecuali ditemani mahram (mahram-orang yang diharamkan nikah / kahwin dengannya. Maka orang atau pihak ketiga yang ada bersama-sama ketika mereka berdua berkhalwat itu adalah syaitan".

Dapat difahami bahawa Islam tidak membenarkan pasangan lelaki dan perempuan yang sudah bertunang atau belum bertunang berjumpa berdua-duaan walaupun dalam apa jua alasan. Sebab ini akan menimbulkan fitnah dan buruk sangka orang ramai terhadap pasangan tersebut. Bagi pendapat saya, jumpa walaupun membincangkan hal-hal penting pun juga tidak boleh dan haram, kerana dikuatiri perbuatan tersebut dapat menghampiri zina. Jika tidak menghampiri zina, maka ia akan berlaku fitnah di atas perempuan atau pasangan tersebut dengan mengatakan bahawa perempuan atau pasangan tersebut tidak mempunyai maruah. Adakah anda suka orang awam mengatakan anda tidak mempunyai maruah? Kalau tidak suka, maka jangan berjumpa berdua-duaan di tempat tersembunyi atau di tempat awam. Firman Allah yang bermaksud :

“Perempuan-perempuan Yang soleh itu ialah Yang taat (kepada Allah dan suaminya), dan Yang memelihara (kehormatan dirinya dan apa jua Yang wajib dipelihara) ketika suami tidak hadir bersama, Dengan pemuliharaan Allah dan pertolonganNya.” (An-Nisa :34)

Wanita yang soleh adalah wanita yang memelihara kehormatannay sebagai seorang wanita yang suci dan tidak pernah difitnah disebabkan perbuatannya atau keluar berdua-duaan dengan lelaki atau tunangnya. Janganlah mencari 1001 alasan untuk menghalalkan perbuatan yang memang jelas di dalam Islam adalah haram sepertimana keluar berdua-duaan kononnya untuk membincangkan sesuatu masalah, hanya pergi membeli belah dan sebagainya. Allah sangat membenci orang yang sentiasa mencari jalan untuk menghalalkan perkara yang haram. Jelas bahawa yang haram itu jelas dan yang halal itu jelas dan tidak ada perkara yang perlu dipertikaikan lagi.

Menurut pandangan Dr.Yusof Al Qardawi dalam Fatawa Muasoroh (fiqh kontemporari) mengatakan bahawa :

“Selama mana akad kahwin (ijab dan qabul) belum ditunaikan oleh tunang laki dan tunang wanita (belum sah nikah/kahwin mereka mengikut 'uruf-adat, syarak dan undang-undang), maka keadaan masih seperti hukum asal.”

Hukum asal yang dimaksudkan oleh Dr. Yusof Al-Qardawi dalam masalah ini ialah seperti berikut :1. Tidak halal dan haram bagi makhtubah (tunang wanita) untuk berkhalwat(berdua-duaan sehingga menimbulkan fitnah) dengan khatibnya (tunang lelaki) kecuali bersama-sama mahtubah (tunang wanita) itu ada salah seorang mahramnya seperti ayahnya atau abangnya.2. Tidak halal dan haram bagi makhtubah (tunang wanita) untuk bermusafir atau melancong dengan khatibnya (tunang lelaki) kecuali bersama-sama mahtubah (tunang wanita) itu ada salah seorang mahramnya seperti ayahnya atau abangnya.

Jika ada apa-apa perkara yang ingin dibincangkan, bolehlah melalui talifon, YM, Facebook dan sebagainya, Tapi ingat jangan sampai laqa (lalai) sehingga boleh menyumbang kearah maksiat. Paling baik sekali, panggil tunang lelaki datang kerumah ketika mana ibu dan ayah ada di rumah dan berbincanglah di depan ibu dan bapa, hal ini lebih berkesan untuk menjauhkan lagi dari perbuatan menghampiri zina atau maksiat.

Jom Tutup Aurat dan jaga akhlak


Yang baik datangnya dari Allah S.W.T, yang buruk datangnya dari ana sendiri...
Sekian..

Assalamualiakum..

No comments:

Post a Comment